Pernah tak anda memandang ke langit malam yang gelap dan nampak satu jalur cahaya putih yang panjang melintang di angkasa? Jalur itu sebenarnya adalah berjuta-juta bintang yang terlalu jauh untuk dilihat secara berasingan, lalu kelihatan seperti kabus putih yang halus.
Fenomena inilah yang membuatkan galaksi kita dikenali sebagai Milky Way atau dalam bahasa Melayu, Bima Sakti.
Tapi kenapa dipanggil Milky Way? Milk yang juga bermaksud susu. Kenapa dipanggil susu?
Kenapa Galaksi Dipanggil Milky Way?
Nama “Milky Way” bukanlah kerana ada susu terapung di angkasa lepas. Sebaliknya, ia datang daripada pemerhatian manusia purba yang melihat rupa jalur bintang ini menyerupai warna putih susu.
Perkataan Milky Way berasal daripada bahasa Latin via lactea, yang bermaksud “jalan susu”. Sementara itu, masyarakat Greek purba pula memanggilnya galaxias kyklos (κύκλος γαλαξίας) yang bermaksud “cincin susu”.
Menurut mitologi Greek, jalur putih itu kononnya terbentuk daripada tumpahan susu dewi Hera yang mengalir merentasi langit. Kisah ini hanyalah mitos, namun ia memberi inspirasi kepada nama yang digunakan hingga hari ini. Apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, nama itu menjadi “Milky Way” dan kekal digunakan dalam dunia sains moden.
Hakikatnya, jalur bercahaya itu adalah pandangan dari dalam galaksi kita sendiri. Galaksi Bima Sakti mengandungi ratusan bilion bintang, dan sebahagian daripadanya membentuk teras dan lengan galaksi yang dapat kita lihat dari Bumi.
Apabila bintang-bintang ini dipandang dari jauh, cahayanya bercampur menjadi satu jalur putih yang menyerupai susu yang ditumpahkan.
Jadi, walaupun namanya seakan-akan merujuk kepada minuman tenusu, Milky Way sebenarnya hanyalah keindahan cahaya bintang yang dilihat dari perspektif kita di Bumi.
Tiada kopi susu, tiada latte, dan tiada petani angkasa yang sedang memerah lembu kosmik, hanya pemandangan alam semesta yang menakjubkan.
Selepas ini apabila anda melihat jalur putih di langit malam, ingatlah bahawa anda sebenarnya sedang memandang ke arah rumah kosmik kita sendiri, yang telah diberi nama indah sejak ribuan tahun lalu.
Sumber : skyatnightmagazine.com












