Bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Politeknik Malaysia?
Untuk pengetahuan anda, sistem politeknik di negara ini terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu Politeknik Premier, Politeknik Konvensional dan Politeknik METrO. Jadi, apakah sebenarnya perbezaan antara ketiga-tiga jenis politeknik tersebut?
Sebanyak 31 buah politeknik beroperasi di seluruh Malaysia, tidak termasuk 5 buah Politeknik METrO yang turut menawarkan pelbagai bidang pengajian kepada pelajar.

Institusi ini menyediakan program di peringkat Sijil, Diploma serta Ijazah Sarjana Muda khas untuk lepasan SPM dan kelayakan setaraf.
Bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan, politeknik menjadi antara laluan pendidikan tinggi yang sering dipilih selain universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan kolej kemahiran seperti ILKA.
Contents
Apa Beza Politeknik Premier, Politeknik Konvensional Dan Politeknik METrO
Walaupun dibahagikan kepada tiga kategori berbeza, semua politeknik di Malaysia memainkan peranan yang hampir sama iaitu melahirkan graduan separa profesional dalam bidang kejuruteraan, perdagangan serta perkhidmatan.
BACA JUGA : Apa Beza Masjid Dan Surau
Pada masa yang sama, politeknik turut menjadi salah satu laluan alternatif untuk pelajar menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi.
Tidak hairanlah ramai pelajar memilih politeknik sebagai destinasi pendidikan mereka kerana beberapa kelebihan berikut:
- Institusi pendidikan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan
- Program pengajian mendapat pengiktirafan daripada MQA
- Kos yuran pengajian yang lebih mampu milik
- Prospek kerjaya yang baik selepas tamat pengajian
- Berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi
Di bawah merupakan perkongsian mengenai perbezaan antara Politeknik Premier, Politeknik Konvensional dan Politeknik METrO sebagai panduan serta rujukan kepada para pelajar yang ingin membuat pilihan pengajian.
1) Politeknik Premier
Politeknik Premier merupakan institusi politeknik yang bertaraf setanding dengan universiti awam di Malaysia.
Permohonan kemasukan dibuat menerusi sistem UPU secara dalam talian, sekali gus menyebabkan calon perlu bersaing bersama pemohon universiti awam dan Politeknik Premier untuk mendapatkan tempat.
Kebiasaannya, pengambilan pelajar lebih tertumpu kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Selain itu, Politeknik Premier menyediakan pelbagai program pengajian merangkumi peringkat Diploma, Diploma Lanjutan hingga Ijazah Sarjana Muda.
Pada masa ini, terdapat tiga buah Politeknik Premier di Malaysia iaitu :
- Politeknik Ungku Omar, Perak (PUO)
- Politeknik Sutan Salahudin Abdul Aziz Shah, Selangor (PSA)
- Politeknik Ibrahim Sultan, Johor (PIS)
2) Politeknik Konvensional
Politeknik Konvensional pula merupakan politeknik biasa yang telah lama ditubuhkan di Malaysia. Kemasukan pelajar lepasan SPM boleh dibuat melalui sistem UPU Online atau menerusi Portal Bahagian Pengambilan Pelajar Politeknik.
Institusi ini menawarkan program pengajian di peringkat Sijil dan Diploma serta dibuka kepada pelajar sepenuh masa mahupun separuh masa.
Setakat ini, terdapat 25 Politeknik Konvesional di seluruh Malaysia iaitu :
- Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang
- Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah
- Politeknik Kota Bharu, Kelantan
- Politeknik Kuching, Sarawak
- Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan
- Politeknik Kota Kinabalu, Sabah
- Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang
- Politeknik Melaka
- Politeknik Kuala Terengganu, Terengganu
- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu
- Politeknik Merlimau, Melaka
- Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak
- Polteknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kedah
- Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor
- Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis
- Politeknik Muadzam Shah, Pahang
- Politeknik Mukah, Sarawak
- Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang
- Politeknik Jeli, Kelantan
- Politeknik Nilai, Negeri Sembilan
- Politeknik Banting, Selangor
- Politeknik Mersing, Johor
- Politeknik Hulu Terengganu, Terengganu
- Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Muar, Johor
- Politeknik Sandakan, Sabah
- Politeknik Bagan Datuk, Perak
- Politeknik Besut, Terengganu
- Politeknik Tawau, Sabah

3) Politeknik METrO
Politeknik METrO diwujudkan sebagai institusi pendidikan dan latihan yang memberi tumpuan kepada keperluan sosioekonomi setempat serta wilayah tertentu, khususnya dalam bidang berkaitan sektor perkhidmatan yang semakin berkembang.
Keperluan tenaga kerja melibatkan pelbagai sektor termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) hingga syarikat multinasional turut menjadi antara fokus utama penubuhannya.
Penubuhan Politeknik METrO juga selaras dengan agenda transformasi negara untuk meningkatkan daya saing ekonomi berpendapatan tinggi, terutama dalam usaha melahirkan modal insan yang fleksibel, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.
Sasaran utamanya merangkumi lepasan SPM serta golongan pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran sedia ada atau mempelajari kemahiran baharu melalui proses upskilling dan reskilling.
Dari segi pembelajaran, Politeknik METrO lebih menekankan pendekatan Blended Learning atau Pembelajaran Teradun dan turut bergerak ke arah Open Distance Learning (ODL) berasaskan e-pembelajaran.
Selain itu, proses permohonan kemasukan juga lebih fleksibel kerana diuruskan secara autonomi tanpa pengambilan pelajar secara berpusat. Ini merupakan senarai lokasi Politeknik METrO :
- Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL)
- Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB)
- Politeknik METrO Tasek Gelugor (PMTG), Pulau Pinang
- Politeknik METrO Kuantan (PMKU)
- Politeknik METrO Betong (PMBS), Sarawak

Secara keseluruhannya, setiap jenis politeknik di Malaysia mempunyai kelebihan dan fungsi tersendiri mengikut keperluan pelajar serta bidang pengajian yang ditawarkan.
Oleh itu, pelajar disarankan memilih institusi yang paling sesuai dengan minat, kelayakan dan hala tuju kerjaya masing-masing.










