Senarai Filem-Filem Terbitan Astro Shaw Terbaru 2025

By Aiman San

Published On:

Follow Us
filem astro shaw terbaru

Astro Shaw terus bersedia memeriahkan industri perfileman tempatan dengan deretan filem baharu yang penuh dengan aksi luar biasa, emosi, dan kejutan, yang seterusnya menjanjikan pengalaman sinematik yang berbeza.

Tiga filem Astro Shaw yang akan menemui penonton di pawagam pada suku ketiga dan keempat tahun 2025 ini adalah ‘Abah Saya Uncle Mike’, ‘Malam Terlarang, dan ‘Wantogo’.

Sementara itu Astro Shaw turut berkerjasama dengan penerbit-penerbit besar tempatan untuk filem ‘Legasi Wira Merah’, ‘Magik Rompak’, ‘3 Hajatdan Papa Zola The Movie. Setiap filem membawakan cerita segar dengan genre berbeza.

Usaha ini mencerminkan keberanian Astro Shaw dalam meneroka dimensi baharu penceritaan, sekali gus memperluaskan landskap perfilem tempatan dengan kandungan yang pelbagai dan berkualiti.

Legasi Wira Merah

Legasi Wira Merah

Filem aksi thriller arahan James Lee ini mengangkat semangat perjuangan pasukan Bomba dan dijayakan oleh pelakon Ben Amir, Nas Muammar Zar, Henley Hii, Nia Atasha, Amar Alfian.

Amir, anggota bomba termuda dalam pasukannya, berdepan dengan trauma silamnya. Ketika insiden kebakaran pencakar langit tertinggi di ibu kota, Amir diberi tanggungjawab untuk mengetuai misi menyelamat. Dengan nyawa orang awam dan rakan sepasukan dalam bahaya, Amir harus mengatasi ketakutannya dan membuktikan bahawa semangat wira sejati.

Abah Saya Uncle Mike

Sempena bulan kemerdekaan, Astro Shaw membawakan sebuah naskhah yang meraikan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya Malaysia, ‘Abah Saya Uncle Mike’.

Abah Saya Uncle Mike

Filem arahan Ezrie Gazali ini mempertaruhkan kisah menyentuh hati yang diinspirasikan daripada kisah benar seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu sejak kecil.

Filem ini menceritakan tentang perjalanan Rafei, sebagai anak sulung daripada tiga adik-beradik yatim piatu, yang ingin mencari jati diri dan harapan serta mengimpikan masa depan yang lebih cerah.

Selepas menemui kasih sayang dalam keluarga Uncle Mike, dia berusaha untuk bersatu semula dengan dua adik lelakinya yang terpisah. Membariskan pelakon semakin melonjak naik, Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur, Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan dan Pauline Tan.

Magik Rompak

Filem arahan pengarah pecah panggung, Adrian Teh dan menampilkan gandingan bintang terkenal tanah air, Sharnaaz Ahmad, Zul Ariffin, Nadhir Nasar, Amelia Henderson.

Magik Rompak

Seorang ahli silap mata bergabung dengan sekumpulan pencuri yang mahu membalas dendam terhadap individu yang berkuasa, Tan Sri Hamdan. Sasaran mereka adalah ‘Hati Kesuma’, rantai berlian lagenda bernilai jutaan ringgit, yang bakal dipamerkan di majlis persaraan mewah Tan Sri. Namun ketika rompakan, misi mereka diancam dengan khianat dan sifat tamak.

Malam Terlarang

Satu-satunya filem seram dari Astro Shaw tahun ini, ‘Malam Terlarang’ bakal menemui penonton Oktober depan. Ia membawakan kisah kepercayaan mistik dan tradisi ritual yang wujud dalam kalangan masyarakat tempatan.

Malam Terlarang

Berlatarkan tahun 1987, seorang gadis yang sedang meratapi kematian kakaknya mengesyaki keluarganya dihantui entiti misteri. Pencariannya untuk membongkar kebenaran membawa kepada penemuan mengejutkan.

Filem arahan Norhanisham Muhammad (Labu) menggandingkan pelakon Zul Ariffin, Shasha Abedul, Sofia Jane, Sabri Yunus, Amir Nafis, Aila Azizul, Sadiq M Jamil, Normah Damanhuri dan Hasnul Rahmat. 

3 Hajat

Filem Astro Shaw 3 Hajat

Sebuah filem penuh emosi lakonan mantap Eman Manan dan Amerul Affendi, dan diarahkan oleh Zul Huzaimy. 3 Hajat menyaksikan terbitan bersama Artisans dan Astro Shaw.

Setelah bebas dari penjara, seorang bekas banduan berhajat untuk memulihkan semula hubungannya dengan anaknya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Wantugo

Sementara itu, Wantugo merupakan filem pertama Malaysia yang membawakan genre ‘Battle Royale’ dan membariskan deretan pelakon terkenal tanah air seperti Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha, Yusof Hashim (Ucop), Arfie Shah dan ramai lagi.

Wantugo

Wantugo mengisahkan tentang sekumpulan individu yang diletakkan dalam satu persekitaran dan dipaksa bertarung di antara satu sama lain dalam permainan maut. Film ini turut diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu).

Papa Zola The Movie

Astro Shaw bekerjasama dengan produksi animasi tempatan, Monsta dalam mempersembahkan filem aksi animasi, ‘Papa Zola The Movie’. Filem ini bakal menghiburkan penonton seisi keluarga dengan adegan penuh gelak tawa dan aksi Papa Zola semasa muda.

Papa Zola The Movie

Dijadualkan tayangan pada Disember nanti, teaser treler bagi filem francais Boboiboy ini telah dilancarkan pada Mei lalu dan berjaya mencatat kejayaan luar biasa apabila meraih lebih dua juta tontonan di seluruh platform digital dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas dilancarkan. 

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now