Jodoh, rezeki dan ajal merupakan perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan menjadi rahsia-Nya yang tidak diketahui oleh manusia.
Sebagai hamba-Nya, kita dituntut untuk berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin. Namun begitu, keputusan akhir tetap berada dalam kekuasaan Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap insan.
Ada dalam kalangan mereka yang masih belum bertemu pasangan hidup walaupun telah mencuba pelbagai usaha untuk mencari jodoh yang sesuai.
BACA JUGA : 3 Sebab Jatuh Cinta Kepada Seseorang
Jika pelbagai ikhtiar telah dilakukan tetapi masih belum berhasil, maka teruskanlah berharap kepada Allah dengan memperbanyakkan doa dan memohon petunjuk daripada-Nya.
Dalam Islam, doa merupakan antara amalan yang sangat besar manfaatnya dan menjadi kekuatan utama bagi seorang Muslim.
Marilah kita amalkan beberapa doa pilihan yang boleh dibaca sebagai usaha memohon dipermudahkan urusan bertemu jodoh yang baik dan diinginkan.
Contents
Himpunan Doa Dapat Jodoh Dan Pasangan Yang Baik
Al-Quran bukan sekadar diturunkan sebagai panduan hidup kepada umat manusia, malah di dalamnya turut terkandung pelbagai doa yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, termasuk doa berkaitan jodoh.
Bagi mereka yang sedang berharap untuk dipertemukan dengan pasangan yang baik, terdapat beberapa ayat daripada surah tertentu dalam Al-Quran yang sering dijadikan amalan sebagai ikhtiar dan doa dapat jodoh daripada Allah SWT.
Berikut merupakan antara petikan ayat Al-Quran yang boleh dibaca dan diamalkan sebagai doa untuk memohon dipermudahkan urusan jodoh:
1. Surah Al-Anbiya ayat 89
Petikan ayat ini turut dikenali sebagai doa Nabi Zakaria AS
رَبِّ لَا تَذَرْنِيْ فَرْدًا وَ أَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِيْنَ
Rabbi la tazarni fardan wa anta khairul warisin
Maksudnya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah Pewaris yang terbaik.”
2. Surah Al-Furqan, ayat 74
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrota a’yuniu waj’alna lil muttaqina imama
Maksudnya: “Ya Tuhan, anugerahkan kepada kami isteri dan zuriat yang menyejukkan (hati) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertaqwa..”
3. Surah al-Qasas ayat 24
Petikan ayat ini lebih masyhur sebagai doa yang diamalkan oleh Nabi Musa AS ketika memohon limpahan rezeki dan kebaikan daripada Allah SWT.
رَبِّ إِنِّيْ لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرِ فَقِيْرٌ
Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir
Maksudnya: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan suatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”
4. Doa Untuk Memohon Jodoh Yang Baik Oleh Almarhum Tuan Guru Dr. Harun Din
Semoga segala urusan dipermudahkan, dikurniakan pasangan yang soleh atau solehah, menerima diri kita seadanya dengan segala kelebihan dan kekurangan, serta menjadi teman hidup yang dapat membimbing ke arah keredaan Allah dan syurga-Nya.
Mudah-mudahan juga dikurniakan zuriat serta menjadi ibu dan ayah yang terbaik buat anak-anak pada masa hadapan. Insya-Allah, amin.
Doa Cepat Dapat Jodoh untuk Lelaki
Bagi lelaki yang masih belum berumah tangga, doa ini boleh dijadikan amalan harian sambil memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan seorang isteri yang baik, solehah dan sesuai untuk dijadikan teman hidup hingga ke akhir hayat.
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجَةً طَيِّبَةً أَخْطُبُهَا وَأَتَزَوَّجُ بِهَا وَتَكُوْنُ صَاحِبَةً لِى فِى الدِّيْنِ وَالدُنْيَا وَالْأَخِرَةِ
Robbi hablii milladunka zaujatan thoyyibah akhtubuhaa wa atazawwaju biha watakunu shoohibatan lii fiddiini waddunyaa wal aakhiroh.
Maksud : “Ya Rabb, berikanlah kepadaku isteri yang terbaik dari sisi-Mu, isteri yang aku lamar dan nikahi dan isteri yang menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.”
Doa Cepat Dapat Jodoh Untuk Wanita
Bagi wanita yang masih mencari pasangan hidup, doa ini juga boleh diamalkan sebagai ikhtiar memohon kepada Allah SWT agar dipertemukan dengan bakal suami yang soleh, berakhlak mulia dan menjadi pendamping terbaik di dunia serta akhirat.
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجًا طَيِّبًا وَيَكُوْنُ صَاحِبًا لِى فِى الدِّيْنِ وَالدُنْيَا وَالْأَخِرَة
Robbi hablii milladunka zaujan thoyyiban, wayakuuna shoohiban, lii fiddiini waddunyaa wal aakhiroh.
Maksudnya : “Ya Rabb, berikanlah kepadaku suami yang terbaik dari sisi-Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.”
Terus Usaha Dan Berdoa Kepada Allah
Selain mengamalkan doa-doa berkaitan jodoh, usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT juga tidak boleh diabaikan.
Antara amalan yang boleh dilakukan ialah menjaga solat fardu pada awal waktu, memperbanyakkan solat sunat dan tahajud, sedekah, menghidupkan amalan sunah serta sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan keperibadian diri.
Apabila seseorang terus istiqamah dalam melakukan kebaikan dan meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT, maka rahmat serta reda-Nya akan lebih mudah diperoleh.
Dengan izin-Nya, doa yang dipanjatkan juga berpeluang untuk dimakbulkan dan segala yang terbaik akan dikurniakan pada waktu yang paling sesuai.
Usah cepat berasa putus harapan apabila jodoh masih belum tiba. Teruskan berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin, kemudian bertawakallah kepada Allah SWT serta serahkan segala ketentuan kepada-Nya.
Sumber : Pejabat Agama Daerah Pendang, Kedah










