Koleksi Pantun Acara Majlis – Pembuka Bicara, Selamat Datang, Penutup Majlis etc

By Aiman San

Published On:

Follow Us
pantun acara majlis

Pantun memang tidak dapat dipisahkan daripada budaya masyarakat Melayu. Tidak kira sama ada majlis rasmi, kenduri kahwin, acara sekolah atau program santai, pantun sering digunakan untuk menceriakan suasana dan menarik perhatian tetamu.

Sebab itu ramai orang sekarang mencari senarai pantun acara majlis yang sesuai digunakan mengikut keadaan tertentu.

Kadang-kadang bukan mudah hendak cari pantun yang sedap didengar, ringkas dan mudah difahami. Ada juga yang terlalu panjang sampai pengacara sendiri terlupa baris seterusnya ketika bercakap di atas pentas. Disebabkan itu, ramai lebih suka mencari koleksi pantun majlis yang simple tetapi masih nampak menarik dan profesional.

Kalau anda sedang jadi pengacara majlis, guru, pelajar atau ahli jawatankuasa program, perkongsian ini memang sesuai dijadikan rujukan. Dalam artikel ini ada pelbagai contoh pantun pembuka majlis, pantun penutup majlis dan juga pantun untuk acara tertentu yang boleh terus digunakan.

Koleksi Dan Secara Contoh Acara Majlis

Berikut merupakan antara koleksi pantun yang berkaitan dengan acara majlis. Jika anda sebagai pengacara majlis, anda boleh gunakan contoh pantun seperti dibawah.

Pantun Pembuka Biaca

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiringi restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

Assalamualaikum salam sejahtera,
Pembuka kata lidah bicara,
Izinkan saya mulakan acara,
Semoga majlis disambut ceria.

Kompang bergema pusaka bangsa,
Dipalu oleh si anak muda,
Hadir tuan meriah suasana,
Kami menyambut penuh gembira.

Ulik Mayang nyanyian asli,
Dilagu si gadis merdu sekali,
Terima Kasih sekalung budi,
Sudi datang ke majlis merai.

Melayang serindit di atas permatang,
Merbah berkicau di hujung muara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

Pantun Ucapan

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Padamu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Pantun Ucapan Perasmian

Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi;
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.

Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.

Bunga selasih di dalam taman,
Harum melati penyeri intan,
Terima kasih ucapan tuan,
Kekal bersemi dalam ingatan.

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
YDP PIBG hormat dipersila,

Pantun Bacaan Doa

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Anugerah di kecap si anak watan,
Mengangkat senjata bidalan suara,
Menadah tangan memohon keberkatan,
Mendapat restu hidup sejahtera.

Bunga mawar cantik tersemat,
Dipetik gadis di tepi titi,
Doa dibaca memohon Rahmat,
Moga Majlis sentiasa diberkati.

Tangan ditadah penuh inayah,
Majlis dibuka penuh rahmatNya,
Mohon keberkatan serta hidayah,
Moga tercerna minda kelas pertama.

Pantun Persembahan

Pakaian dipakai cantik berseri,
Majlis keraian kita semua,
Majlis kita takkan berseri,
Tanpa persembahan multimedia

Dari Kedah ke Kuala Perlis,
Singgah bersantai di tepi jeti,
Persembahan pembukaan memeriahkan majlis,
Semoga hadirin terhibur di hati.

Sehabis merah daun yang sihat,
Dahan melebar bercerita sakan,
Majlis anugerah mohon berehat,
Persembahan pelajar kita saksikan.

Pantun Jemput Makan

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

Pantun Anugerah

Terbang tinggi si burung helang,
Berkicau kenari sambil berterbangan,
Insan cemerlang negara terbilang,
Anugerah diberi tanda kecemerlangan.

Warga cemerlang tersenyum manis,
Hadir bersama ibu bapa wibawa,
Sambutan anugerah penyeri majlis,
Sematkan gagah di dalam jiwa.

Berkebaya batik berwarna merah,
Diserikan dengan permata berlian,
Tibalah masa penyampaian anugerah,
Penerima teruja menunggu giliran.

Ikan sembilang, sepat dan kelah,
Guna bubu biasa di hujung,
Pencapaian cemerlang dapat hadiah,
Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

Pantun Akhir Majlis

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Tenang-tenang air di kali,
Tempat mandian putra puteri,
Sempurna sudah majlis dirai,
Salah dan silap harap dimaafi.

Bersyukur kini kami panjatkan,
Majlis anugerah telah disempurnakan,
Sekalung penghargaan kami hulurkan,
Segulung tahniah kami ucapkan….

Merdu bertingkah alunan suara,
Kadang tak sedar tersilap kata,
Andai terlanjur patah bicara,
Serendah hati kemaafan dipinta.

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now