Adakah benar sebenarnya vape ini boleh menggantikan rokok dan sekali gus mengurangkan ketagih rokok? Ada katakan vape ini sebenarnya adalah racun. Jom ketahui fakta sebenar disebalik vape yang dikongsikan oleh Pusat Racun Negara.
Beberapa persoalan ini biasanya diutarakan oleh perokok sebelum ingin mencuba vape. Betul ke hisap vape ini lebih selamat daripada rokok? Boleh ke hilangkan ketagihan rokok yang mempunyai nikotin tersebut?
Malah bukan perokok pun katanya mahu mencuba vape yang lebih selamat daripada rokok. Hisap vape selamat sikit daripada rokok. Betul ke persoalan semua ni? Jadi melalui beberapa persoalan ini, anda boleh nilai sendiri. Ianya juga dikongsikan oleh pihak yang betul iaitu Pusat Racun Negara. Adakah Vape ini juga racun?
Contents
- 1 Betul Ke Cecair Vape Diperbuat Daripada Bahan Yang Selamat Dimakan
- 2 Betul Ke Cecair Vape Mempunyai Bahan Kimia Yang Kurang Daripada Rokok?
- 3 Betul Ke Vape Tidak Mengeluarkan Asap Seperti Rokok Tetapi Wap Air?
- 4 Betul Ke Cecair Vape Tidak Mengandungi Nikotin?
- 5 Betul Ke Menghisap Vape Lebih Selamat Daripada Rokok?
Betul Ke Cecair Vape Diperbuat Daripada Bahan Yang Selamat Dimakan
Memang benar formulasi asas untuk cecair vape terdiri daripada propylene glycol, glycerin dan juga bahan perisa yang dibenarkan untuk makanan. Namun adakah ia selamat untuk disedut atau dihidu melalui sistem pernafasan? Tahukah anda propylene glycol dan glycerin yang dipanaskan akan menghasilkan formaldehyde iaitu sejenis bahan kimia toksik yang juga agen penyebab kanser (karsinogenik). Proses ini akan berlaku apabila cecair vape dipanaskan dalam katrij semasa seseorang itu menghisap vape!
Selain daripada itu, terdapat juga laporan terhadap bahan kimia diacetyl dan acetyl propionyl yang biasanya digunakan sebagai bahan perisa vape yang boleh menyebabkan kesan iritasi pada paru-paru. Malahan lebih teruk lagi, dalam kes pendedahan berterusan kepada bahan ini terhadap pekerja kilang membuat bertih jagung menggunakan ketuhar gelombang mikro, mereka telah mengalami penurunan fungsi paru-paru apabila sel paru-paru menjadi rengsa dan berparut. Kejadian ini juga dipanggil sebagai popcorn lung. Amat malang sekali, kerana kesan ini akan kekal dan tidak boleh dipulihkan kembali!
Tambahan lagi, bahan perisa yang popular dalam kalangan pengguna vape seperti vanillin dilaporkan mempunyai kesan sitotoksik khususnya pada sel paru-paru jika terdedah pada kadar tertentu. Sel-sel yang terdedah kepada cecair mahupun aerosol vape juga didapati mempunyai kesan tekanan oksidatif (oxidative stress).
Amat malang sekali, apabila penambahan perisa yang mempunyai bau dan rasa seakan-akan makanan, gula-gula atau buah-buahan boleh memberi persepsi yang selamat lalu menjadi tarikan kepada kanak-kanak serta kaum wanita untuk mencubanya.