Kelantan Tegas Larang Aktiviti Hiburan & Muzik Pada Malam Jumaat

Kelantan Tegas Larang Aktiviti Hiburan & Bunyi Muzik Pada Malam Jumaat

Pelbagai pihak menyambut baik langkah tegas kerajaan negeri yang melarang sebarang bentuk hiburan, aktiviti atau bunyi-bunyian muzik pada setiap malam Jumaat.

Malah, peraturan ini bukanlah perkara baru kerana telah dilaksanakan lebih 30 tahun yang lalu.

Ahli Majlis, Majlis Daerah Gua Musang, Azman Ahmad, menyatakan bahawa malam Jumaat wajar tidak diadakan sebarang persembahan hiburan sebagai tanda menghormati Jumaat, penghulu segala hari.

Hanya Sesuai Program Berbentuk Dakwah Sahaja

Menurutnya, peraturan ini telah dikuatkuasakan di Kelantan sejak awal pentadbiran ulama di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang, Rizwadi Ismail, pula berkata bahawa malam Jumaat hanya sesuai diadakan program berbentuk dakwah dengan pengisian kuliah agama.

“Langkah Kelantan yang tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan dan bunyi-bunyian pada malam Jumaat telah menjadi budaya di Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya di sini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, menyatakan bahawa larangan sebarang bentuk hiburan termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

“Garis panduan ini bersesuaian dengan galakan sebagai seorang Muslim untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam Jumaat.

“Pada masa yang sama, ia menjadi dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam,” katanya selepas Mesyuarat Exco di MABNA MBI.

Menurutnya juga, mana-mana penganjur program seperti festival, hiburan, atau seumpamanya perlu mematuhi arahan ini bermula jam 5 petang Khamis sehingga 5 petang Jumaat.


Sumber : harakahdaily

Post a Comment

Previous Post Next Post