Berita baik untuk semua! Permohonan baru atau kemaskini bagi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi tahun 2022 boleh dibuat mulai hari ini, 1 Januari sehingga 31 Januari 2022.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Zafrul melalui Kementerian Kewangan Malaysia menerusi kenyataan media yang dikongsikan.
Sebelum ini, melalui pembentangan Bajet 2022, Kerajaan telah mengumumkan bantuan tunai iaitu Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Melalui bantuan ini, ianya akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima terutamanya kepada isu rumah dengan pendapatan kurang RM5,000, ibu/bapa tunggal, warga emas, warga emas bujang dan golongan bujang.
Pendaftaran baru atau kemaskini ini bertujuan untuk memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pengkalan data Kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing.
Tetapi jangan risau, data yang disenaraikan dibawah ini akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan. Antaranya:
- Penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021
- Penerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) B40 2021
- Pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin
- Data agensi Kerajaan seperti daripada data :
- e-Kasih
- Penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah DBKL dan KPKT
- Bantuan JKM
- Orang Asli JAKOA
- Ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM
- Gelandangan berdaftar dengan KPWKM dan DBKL
- Penerima Skim Insurans Pekerjaan PERKESO
- Penerima zakat atau baitulmal di Lembah Klang
Jika anda pernah menerima salah satu bantuan yang disenaraikan, data anda sudah ada, tapi anda masih lagi boleh buat semakan dan kemaskini kini maklumat terbaru.
Cara Buat Permohonan Baru Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2022
Pemohon boleh buat permohonan baru dan kemas kini bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Januari 2022 secara online dan secara manual.
Secara online boleh layari portal BKM iaitu https://bkm.hasil.gov.my
Dan secara manual boleh dibuat mulai 3 Januari 2022 dengan menghadirkan diri ke cawangan LHDNM, Pejabat Satelit LHDNM, Pusat Khidmat Hasil LHDNM atau UTC LHDNM.
Untuk sebarang persoalan, anda boleh rujuk Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan di portal rasmi BKM bagi mendapatkan maklumat lanjut