Inilah hadiah untuk peminatnya apabila buat julung-julung kalinya penyanyi no 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan mengeluarkan sebuah filem dokumentara bertajuk Siti: Are You Ready? yang akan bersiaran pada 30 Disember 2021 di saluran Astro First.
Sebuah naskhah yang dikeluarkan dalam bentuk dokumentari berkisar tentang penganjuran konsert berskala mega, Siti Nurhaliza On Tour (SNOT) yang berlangsung pada tahun 2019.
Filem dokumentari berdurasi 80 minit ini, merupakan terbitan Shiraz Projects dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions yang juga bertindak sebagai penganjur.
Sinopsis Filem Dokumentari Siti: Are You Ready?
Siti: Are You Ready? mengisahkan jalan cerita dengan situasi sebenar sepanjang penganjuran Siti Nurhaliza On Tour (SNOT) 2019 di 3 buah negara iaitu Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur.
Diceritakan juga bagaimana persediaan yang dilakukan oleh pasukan kerja dan produksi sebelum sesebuah konsert itu dianjurkan.
Anda juga boleh lihat sesi latihan dengan pemuzik, penari dan mereka yang terbabit. Secara amnya, anda boleh lihat apa yang terjadi sepanjang penganjuran konsert SNOT tersebut.
Waktu Tayangan
Jadi untuk peminat tegar Tokti, jangan lupa untuk saksikan filem dokumentari Siti: Are You Ready? yang akan mula ditayangkan pada 30 Disember 2021, hari Khamis menerusi saluran Astro First CH480.
Bukan sahaja filem dokumentari, dengan harga sewa RM19.90 untuk 2 hari (48 jam), anda juga akan ditawarkan dengan Konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour - Live in Concert juga. Dapat dokumentari, dapat konsert dengan 1 harga. Perghh!
Khusus bagi mereka yang berada di Malaysia dan Brunei, anda boleh membuat langganan melalui Astro First sahaja. Manakala negara selain itu, anda boleh buat langganan di Vimeo on Demand dengan harga USD 4.99 untuk 48 jam tontonan secara berulang-ulang.
Katanya, penganjur dan penerbit filem dokumentari ini bercadang untuk mengeluarkan naskhah ini dalam bentuk video cakera digital (DVD) dan cakera padat (CD) khusus untuk peminat yang mengumpul koleksi penyanyi no 1 negara tersebut.