Selepas drama Cukup Derita Itu musim ke-2 sebelum ini, Saat Kau Takluk Cinta ini akan menggantikannya bagi slot Samarinda bermula 20 Disember 2021 di siaran TV3.
Drama bersiri 15 episod ini merupakan adaptasi novel dengan tajuk yang sama karya Sara Hezra tahun 2019 merupakan terbitan Kembara Sufi Sdn. Bhd.
Karya ini diarahkan oleh Zamri Zakaria, penulisan skrip oleh Eja Lorena dan dibintangi oleh pelakon-pelakon popular Malaysia.
Antara pelakon yang terlibat seperti Idris Khan, Intan Najuwa, Syazwan Zulkifly, Wafariena Roslan dan Shakilla Khoriri.
Mereka dibantu oleh Wan Maimunah, Zarynn Min, Edika Yusof, Jasmin Hamid, Raja Azmi, Raja Baizura, Aleza Shadan dan ramai lagi.
Sinopsis Drama
Saat Kau Takluk Cinta Ini mengisahkan Haira Melissa (Intan Najuwa) telah dibuang keluarganya apabila dituduh merampas tunang kepada adik tirinya.
Dia membawa diri ke sebuah kampung mencari kawannya tapi dia telah sesat dalam keadaan hujan yang lebat. Haira berteduh di sebuah pondok dalam kebun pisang. Dari situ, bermulalah pertemuan Haira dengan Rahhal.
Rahhal (Idris Khan) seorang pemuda kampung yang berpelajaran tinggi berkelulusan luar negara. Rahhal telah mendapat tawaran kerja yang bagus di ibu negara, tetapi dia mengorbankan cita-citanya apabila ibunya, Hajah Damiah (Wan Maimunah) telah diserang strok.
Rahhal membuat keputusan untuk menjaga ibunya dan menguruskan tanah kebun pisang dan kolam ikan milik keluarganya itu.
Rahhal dan ibunya, Hajah Damiah telah dihalau keluar dari rumah pusaka arwah Tok Wan Damit oleh Mak Long Nisah (Aleza Shadan) dan anaknya Fakhril (Syazwan Zulkifly) yang sangat berdendam dengan Rahhal sejak dari kecil.
Fakhril mempunyai niatnya tersendiri untuk menjatuhkan Rahhal. Haira tersentuh dengan keikhlasan Rahhal yang sering mengambil berat tentangnya.
Apabila Rahhal melamarnya, Haira menerima tetapi dia sebenarnya mempunyai sebuah rahsia yang disimpan rapi. Adakah ia akan mengancam mahligai cinta yang dibina oleh Rahhal dan Haira?
Waktu Bersiaran
Drama Saat Kau Takluk Cinta Ini akan mula ditayangkan pada 20 Disember ini, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda di TV3.
Selain itu, anda juga boleh tonton secara online melalui perkhidmatan penstriman iQIYI secara percuma sejuru selepas habis tayangan di TV.
Download aplikasi iQIYI Malaysia di Play Store atau App Store atau tonton pada bila-bila masa melalui www.iq.com/local.