Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan akan terus melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) - Fasa 1 mulai 29 Jun 2021 dengan mengekalkan sebahagian besar SOP Negeri Sabah PKP 3.0 dan ada beberapa perubahan.
Dalam Fasa 1 ini, Kerajaan Negeri akan membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi kembali beroperasi. Antara yang diumumkan melalui kenyataan media daripada YAB Ketua Menteri Sabah adalah kebenaran Dine-In dalam restoren, kedai makan dan restoren dalam premis hotel.
Selain itu, aktiviti ekonomi seperti gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut juga dibenarkan beroperasi mulai 29 Jun ini.
Untuk aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikan juga adalah dibenarkan.
Sementara itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat serta kilang berasaskan kayu dan perabot. Oleh itu, Sabah akan memperincikan SOP dan mengeluarkannya dalam masa terdekat.