Segala aktiviti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan penganjuran Madinah Ramadan di Kelantan dibatalkan pada tahun ini. Pengumuman ini dibuat oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin melalui kiriman di facebook dan juga sidang media yang dibuat.
Keputusan pembatalan ini dibuat 2 hari sebelum umat Islam menyambut bulan yang mulia, Ramadan berikutan kes jangkitan COVID-19 yang masih tinggi di Kelantan. Ini merupakan salah satu ikhtiar bagi membendung kes penularan menjadi lebih tinggi.
Semalam, 10 April, Kelantan telah mencatatkan 171 kes baru harian dimana berada pada kedudukan ketiga tertinggi bagi seluruh Malaysia selepas Sarawak dan Selangor.
Selain itu, Kelantan juga merekodkan 1 kluster baru iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian yang melibatkan 34 kes dari daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.
Bazar Ramadan, Aidilfitri Dan Madinah Ramadan Dibatalkan
Oleh itu, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membatalkan semua bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan Madinah Ramadan dibatalkan sepanjang bulan Ramadan ini. Manakala Madinan Ramadan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin COVID-19 berisiko rendah (PKRC).
Dalam sidang media yang dibuat, beliau Dr Izani Husin memberitahu, segala wang deposit yang telah dibayar oleh pihak peniaga akan dipulangkan.
'Untuk aktiviti ibadah seperti solat jemaah, solat tarawih semua adalah dibawah bidang kuasa MAIK', tambah beliau.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah telah mengumumkan untuk tidak mengadakan aktiviti Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri berikutan kes pandemik yang masih tinggi berlaku di negeri Sabah tersebut.
Diharap ikhtiar ini dapat mengurangkan kes jangkitan COVID-19 di Kelantan terutamanya dan di seluruh Malaysia secara amnya. Sila patuhi SOP yang telah ditetapkan seperti sentiasa memakai face mask, kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.
sumber : sinarharian