Mungkin ada beberapa perkara bidaah dalam perkahwinan yang biasa kita lihat atau mungkin pernah lakukan sebelum ini yang mungkin kita tak perasan. Jika belum lagi melansungkan perkahwinan, mungkin anda boleh take note beberap perkara ini.
Perkahwinan merupakan satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT. Namun, masyarakat hari ini sudah terbiasa dengan amalan-amalan yang tidak mengikut landasan syariat, ditambah pula dengan perbuatan yang membawa kepada larangan di sisi Allah SWT.
Tetapi jika perkara ini baik tetapi tidak disyariatkan seperti adat, mungkin boleh dilakukan tetapi mestilah tidak berlebihan dan tidak mewajibkan perkara tersebut. Jadi ikuti 7 perkara bidaah dalam perkahwinan yang kita kena elakkan. Barulah perkahwinan kita tersebut diredhai oleh Allah SWT
1. Membuka Aurat & Tabarruj
Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para tetamu) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend dalam kalangan umat Islam sendiri setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka, termasuk mengenakan pakaian yang ketat, jarang, nipis dan tabarruj.
Sedangkan Allah SWT berfirman dalam suran an-Nur ayat 24 hingga 31, yang bermaksud:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluanya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada (mahram mereka)."
2. Berselek Dan Memakai Wangi-Wangian Berlebihan Bagi Wanita
Dar Abu Musa al-Asy'ary RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudia dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina." (Riwayat Abu Daud, no. 4172, al_Tirmidzi, no. 2786)
Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik yang berlebihan (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.
3. Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan
Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:
"Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas." (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah).
Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (Kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.
4. Adat Bersanding Dan Pelamin
Pelamin dan adat bersanding dikatakan amalan yang mirip dengan adat istiadat agama lain.
Menurut Syaikh Ibnu 'Utsaimin rahimahullah, "Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya beserta coklat dan selainnya yang dapat mengerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah."
(Min Munkaratil Afraah, m/s. 7,10. Rujuk: Panduan Lenkah Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)
Pelamin boleh diletakkan bagi tujuan bergambar sahaja dan pastikan tiada percampuran lelaki dan perempuan yang melampaui batas.
5. Menabur Gula-Gula, Coklat Dan Bunga
Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syariat atau pun majlis perkahwinan sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW. Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil daripada perbuatan kaum Kristian yang menabur bungan di acara-cara perkahwinan mereka.
6. Adat Merenjis Air Mawar
Adat ini mungkin ia diambil daripada amalan agama lain. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bidaah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i'tiqad (keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagian dan seumpamanya.
7. Mewajibkan Adanya Duit Dan Barang Hantaran
Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bidaah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi dengan ditambahnya amalam-amalan seperti ini, ia hanya akan membebankan pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekali gus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata di sebabkan perkara ini.
Dari Irbadh bin Sariyah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bidaah, dan setiap bidaah adalah sesat." (Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Anda boleh baca perkongsian wanita ini bagaimana beliau berkahwin dengan kos kurang RM5000 dan tanpa hantaran tetapi hidup bahagian selepas majlis perkahwinan tersebut.
sumber : majalah i
Keywords:
perkahwinan