Umat Islam di Malaysia khususnya akan menyambut 1 Syawal 1441H pada tahun ini pada 24 Mei 2020M. Kita menyambut Aidilfitri sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
Tahun ini kita terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Selama tempoh PKPB ini, banyak perkara yang terhad yang kita tidak boleh lakukan terutamanya balik kampung atau rentas negeri. Jadi mana yang berada di bandar, tidak boleh pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran.
Tetapi Syawal masih seperti biasa tetapi tiada perayaan seperti tahun-tahun sebelum ini. Sambutan hari raya boleh dilakukan bersama kawan-kawan atau keluarga yang ada di kampung sendiri. Dalam sambutan yang bersederhana umat Islam meraikannya, ada 2 perkara yang perlu dilakukan sepanjang menyambut hari kemenangan ini iaitu :
- Untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan dalam kehidupan bermasyarakat atau memenuhi tanggungjawab sosial
- Untuk mempertingkatkan tanggungjawab mengawal dan memelihara kedaulatan Islam dari dicemari oleh fahaman dan pegangan yang terpesong daripada akidah Islam dan bertentangan dengan pegangan al-Quran dan as-Sunnah.
7 Amalan Sunnah Yang Anda Boleh Lakukan Di Pagi Syawal
1. Bertakbir
Bertakbir pada 1 Syawal merupakan satu amalan yang disyariatkan. Tempohnya adalah dari terlihatnya anak bulan pada malam hari raya pertama dan berakhir ketika khutbah dibacakan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185, yang bermaksud,
'Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (dengan bertakbir) atas petunjukNya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur'
2. Ucap Kata-Kata Selamat
Mengucapkan kata-kata selamat antara satu sama lain. Antara kawan-kawan, ahli keluarga yang lain. Ucapan yang boleh diikuti daripada Rasullah SAW adalah seperti demikian:
Dari Jabair bin Nufair, "Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'Taqabbalalluhu minna waminkum' (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)," (Riwayat Ibnu Hajar al-Azqalani)
3. Hidupkan Qiamullai
Terus hidupkan Qiamullai. Amalan ini seharusnya diteruskan pada waktu-waktu lain dan tidak hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu seperti pada bulan Ramadan sahaja. Malam Raya pun, disunatkan untuk bangun malam.
4. Hias Diri Dengan Pakaian Yang Indah
Jika tiada pakaian baru, boleh pakai baju yang cantik. Cara berpakaian juga perlu dititikberatkan, seperti tidak memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan susuk badan dan berhias berlebih-lebihan bagi mengelakkan terjerumus dalam kemungkaran. Disunatkan memakai wangi-wangian bagi kamu lelaki dan tidak pada kaum wanita.
Dari Abu Musa, Rasullah SAW bersabda, "Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu baunya (untuk menarik perhatian), di adalah (ibarat) penzina." (Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Thahawi)
Walaubagaimanapun, Islam merupakan agama yang sangat mementingkan kebersihan diri. Bagi kaum wanita, mereka dibenarkan memakai wangian mengikut keadaan diri masing-masing dan tidak menarik perhatian orang ramai. Tapi sebab PKPB ini duduk rumah, boleh la pakai.
5. Solat Sunat Aidilfitri
Menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Ibnu Abbas RA berkata, "Rasulullah SAW telah keluar pada hari raya (pertama) Aidilfitri, kemudian terus menunaikan solat sunat hari raya sebanyak 2 rakaat. Baginda tidak melaksanakan sebarang solat sebelumnya atau sesudahnya." (Riwayat Bukhari)
Pada kali ini, kita semua disarankan untuk lakukan di rumah sahaja dengan mengikut arahan pemimpin. Panduan melaksanakan Solat Aidilfitri pun turut disediakan bagi setiap negeri.
6. Berpuasa Sunat 6 Hari Pada Bulan Syawal
Amalan ini menjadi pelengkap kepada penyempurnaan Ramadan untuk meraih keberkatan dan takwa daripada Allah SWT. Sebagaimana hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikutinya puasa 6 hari Syawal sama seperti dia berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim, At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah)
7. Mandi Sunat Pada Pagi Hari Raya
Disunatkan mandi pada pada hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, sebagaimana dalam musnad As-Syafie, Ali Bin Abi Talib RA ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab, "Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari raya Aidiadha dan Aidilfitri."
Keywords:
hari raya